TEMA: KEMERDEKAAN
Semanagat kemerdekaan jelas terpancar pada wajah ceria sekumpulan remaja ini.
Tarikh keramat 31 Ogos memang sudah menjadi hari yang dinanti ketibaannya oleh seluruh rakyat Malaysia. Tanyalah pada yang muda mahupun yang tua, malah dalam kalangan kanak-kanak juga rata-rata mengetahui akan peristiwa bersejarah yang berlaku ke atas negara kita pada 51 tahun yang lampau. Setiap yang bergelar warganegara Malaysia sudah sedia maklum sejarah kemerdekaan yang dicapai oleh negara ini setelah bebas dari belenggu penjajahan British pada 31 Ogos 1957. pada hari ini, tarikh 31 Ogos telah dijadikan sebagai hari cuti umum di seluruh negeri sebagai memperingati hari yang bersejarah tersebut. Setiap tahun kita dapat menyaksikan upacara sambutan yang gilang-gemilang diadakan di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat negeri. Lantas, pelbagai acara menarik yang mampu menggamit kebanjiran penduduk setempat untuk berpusu-pusu keluar berkumpul di lokasi sambutan bagi menanti detik jam 12 malam.
Jika dibuat perbandingan antara suasana sambutan kemerdekaan pada waktu dahulu dan sekarang, sememangnya keadaan sudah banyak berubah. Aura merdeka pada era ini seakan sudah hilang dan kemegahan yang dijulang selama ini bersama laungan kemerdekaan juga kelihatan semakin pudar. Sungguhpun sudah lebih setengah abad negara mengecapi kemerdekaan daripada kuasa Barat, namun sejauh manakah impak kemerdekaan itu memberi perubahan dalam diri dan jiwa masyarakat Malaysia pada hari ini? Penulis sudah bosan mendengar jawapan yang diberikan oleh ramai individu yang memberikan pandangan stereotaip berkaitan dengan erti kemerdekaan bagi mereka- bebas dari belenggu penjajahan, hidup aman damai dan seumpamanya. Apakah kemerdekaan pada kaca mata mereka semata-mata bebas dari segi fizikal sahaja? Ke mana perginya penilaian merdeka dari aspek pemikiran, tingkahlaku dan rohani. Mungkin dek kontangnya jiwa mereka akan erti kemerdekaan, maka kini terpamerlah wajah anak-anak merdeka pada zaman sekarang; hanya merdeka dan bebas pada zahirnya sedangkan jiwa dan pemikiran masih lagi diratah rakus oleh pengaruh Barat.
Keadaan menjadi sesak di sekitar Dataran Meredeka selepas jam 11 malam.
Perjalanan penulis menelusuri bandaraya Kuala Lumpur pada malam 31 Ogos yang baru lalu memberi sentakan yang agak hebat buat penulis. Penulis memilih untuk keluar lebih awal, pada jam 9.00 malam untuk meninjau suasana persekitaran kota metropolitan itu pada malam sambutan kemerdekaan diadakan. Telahan penulis sama sekali meleset dengan keadaan lalulintas pada waktu itu kerana suasana jalan raya yang lengang dan persekitarannya agak sunyi. Mungkin disebabkan oleh hari cuti berkembar yang dilanjutkan ke hari Isnin dari cuti hujung minggu membuatkan ramai warga kota yang mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing. Penulis berasa agak kecewa dengan situasi itu. Walaubagaimanapun, penulis tetap mengharapkan ada sesuatu yang menarik untuk dibawa pulang pada malam tersebut.
Sewaktu kereta yang penulis naiki memacu laju melalui beberapa bangunan tinggi di sekitar ibu kota, mata penulis tertarik pada satu bangunan yang terletak di sekitar Dataran Merdeka. Lampu-lampu yang dinyalakan di sekitarnya menambah keindahan pemandangan malam di kawasan itu. Tetapi yang paling menarik pada pengamatan penulis ialah gambar yang dipancarkan pada permukaan bangunan itu yang dapat bertukar-tukar paparannya. Dari gambar jalur gemilang, bunga kebangasaan hinggalah ke potret pemimpin-pemimpin negara, semuanya dipaparkan bersilih ganti. Di satu bangunan lain pula, penulis turut mengkagumi hiasan rekaletak dan dekorasi yang dibuat berdasarkan tema kemerdekaan. Replika-replika yang menarik dipasang siap serta tidak ketinggalan jalur gemilang turut dikibarkan pada gerbang pintu masuk ke kawasan bangunan itu bagi menandakan begitu megah dan bewarna-warninya hari kebangsaan yang disambut pada kali ini. Namun, cukupkah sekadar itu sahaja?
Megah berdiri...
Pemandangan indah di sekitar bandar Kuala Lumpur yang dihiasi jalur gemilang .
Sesungguhnya pada pandangan penulis sendiri, penulis tidak dapat melihat keghairahan masyarakat Malaysia pada hari ini meraikan sambutan kemerdekaan negara. Hal ini tidak dapat disangkal kerana ianya dibuktikan dengan berkurangnya bilangan kenderaan yang memasang bendera pada kenderaan mereka. Bukan itu sahaja, suasana ceria yang diwujudkan dengan pemasangan bendera pada rumah dan tempat kediaman juga sudah tidak kelihatan lagi. Tidak sepertimana tahun-tahun sebelum ini yang menampakkan semangat masyarakat sekitar yang berlumba-lumba mengibarkan jalur gemilang.
Setelah puas berputar-putar mengelilingi bandar raya Kuala Lumpur, penulis berhenti seketika di sekitar Dataran Merdeka. Pada waktu itu barulah kelihatan orang awam berkeliaran berjalan-jalan dan berkumpul untuk menantikan detik jam 12 malam. Kelihatan juga anggota polis trafik yang bertugas serta anggota badan keselamatan lain mula mengambil peranan mengawasi keadaan jalan raya. Cahaya lampu saling menyirami kawasan Dataran Merdeka itu, lantas menaikkan keghairahan orang ramai untuk terus berpusu-pusu membanjiri kawasan dataran. Namun entah mengapa, penulis masih lagi merasakan kehambaran pada sambutan malam itu.
Tidak mahu ketinggalan...aktiviti konvoi beramai-ramai sambil membawa jalur gemilang menyemarakkan lagi suasana malam meredeka.
Sambil berjalan melihat gelagat anak-anak muda dan orang ramai menyambut malam kemerdekaan, penulis terserempak dengan sekumpulan remaja berbasikal, berkonvoi sambil membawa bendera Malaysia menelusuri sekitar kawasan berhampiran. Penulis merasakan semangat mereka begitu kuat sehingga sanggup meredah malam mengayuh basikal mengelilingi bandar. Tidak berapa lama kemudian, penulis berselisih pula dengan anak-anak muda yang berjalan kaki beramai-ramai sambil membawa jalur gemilang bersama mereka. Apabila diajukan pertanyaan tentang tujuan mereka, salah seorang daripada ahli kumpulan itu menyatakan bahawa itulah cara mereka menunjukkan betapa tingginya nilai patriotisme yang tertanam dalam jiwa mereka. Tambah mereka lagi, mereka bangga menjadi anak kelahiran bumi Malaysia, negara yang penuh dengan keistimewaan. Tidak kurang juga ada yang berkonvoi dengan menaiki motosikal sambil memacakkan bendera Malaysia motosikal masing-masing. Rata-rata mereka adalah remaja yang berusia awal 20-an. Apabila menyaksikan sendiri kesungguhan nmereka mengibarkan jalur gemilang, terbit rasa bangga di hati kecil penulis. Mujurlah anak-anak muda pada hari ini masih punyai nilai dan semangat cintakan tanah air meskipun negara sudah menuju ke era globalisasi. Semangat beginilah yang perlu ada dalam diri setiap inividu terutama dalam kalangan generasi hari ini.
Aksi yang mencemarkan maruah dan melunturkan semangat kemerdekaan .
Walaubagaimanapun, penulis tidak dapat menyembunyikan rasa marah dan kecewa dengan perbuatan mat-mat rempit dan minah-minah rempit yang turut mengadakan konvoi bersama jalur gemilang tetapi dalam keadaan yang mencemarkan imej kemerdekaan itu sendiri. Apa tidaknya, dua orang gadis yang membonceng dua buah motor hanya mengenakan baju ’singlet’ dan bermini skirt separas paha sambil memegang bendera Malaysia. Si penunggang lelaki boleh pula berpakaian bertutup elok dari atas sampai ke bawah. Apa yang paling membuatkan penulis berasa panas hati ialah apabila mereka menjadikan jalur gemilang yang diarak sebagai selendang menutupi tubuh apabila sedar akan tindakan penulis merakam aksi dan gambar mereka. Sempat pula salah seorang gadis itu melempiaskan rasa tidak puas hatinya kepada penulis yang leka merakam babak-babak yang menjatuhkan martabat bangsa itu. Lihatlah, apa sudah jadi dengan anak zaman Millenium hari ini? Penulis sendiri rasa tertampar dengan perlakuan yang ditayangkan di hadapan mata pada tika itu. Bukan penulis sahaja yang memberi reaksi negatif terhadap mereka, malah penulis yakin bahawa pengguna-pengguna jalan raya yang lain turut mempunyai persepsi yang sama dengan penulis. Buktinya, beberapa penunggang motosikal hanya tersenyum sinis melihat aksi gadis-gadis tersebut. Penulis sempat pula mengerling ke arah pemandu salah sebuah kereta di sebelah, lelaki itu menggeleng-geleng kepala sambil mencemik muka penuh makna. Mungkin inilah cara anak muda zaman sekarang melahirkan 'kecintaan' mereka terhadap negara...
Pendedahan kepada hiburan yang keterlaluan ini seharusnya tidak diterapkan dalam kalangan kanak-kanak.
Dalam satu persekitaran yang berbeza, penulis dijamu lagi dengan satu persembahan tarian lincah kanak-kanak cilik yang penulis anggap tidak wajar diadakan tambahan lagi pada malam hari merdeka. Dalam masyarakat Malaysia lain sibuk meunggu tibanya detik jam 12 malam tidak kiralah di mana-mana tempat sambutan mahupun sekadar berada di hadapan kaca televisyen, rupa-rupanya masih ramai yang berada di bazar-bazar larut malam pada saat itu. Apa yang penulis katakan tadi, di tempat yang sama terdapat satu sudut yang menempatkan satu pentas kecil. Dari jauh penulis tidak dapat mengagak apakah aktiviti yang sedang berlangsung sehinggakan orang ramai tidak berganjak, malah makin memenuhi ruang itu. Rupa-rupanya penulis dapati sekumpulan kanak-kanak dalam lingkungan umur lima ke sepuluh tahun sedang lincah dengan liuk lentuk badan menari mengikut irama dangdut yang dimainkan. Wah, ini sudah luar biasa! Bayangkan kanak-kanak perempuan yang berusia setahun jagung sudah mengenakan pakaian yang agak seksi dan sudah mahir dengan 'step' tarian dangdut dari negara seberang. Sekiranya kita fikirkan secara logiknya, wajarkah anak-anak seusia ini diberi pendedahan terhadap benda-benda sebegini? Kalaulah generasi muda tidak diterapkan dengan input yang berkualiti dan nilai yang murni, bagaimana agaknya negara dapat menjana modal insan yang mantap sekaligus melahirkan warganegara yang tak luntur dengan semangat patriotisme.
Setelah hampir sepertiga malam penulis menghabiskan masa pada malam merdeka itu dengan menikmati suasana kemerdekaan yang diraikan oleh penduduk-penduduk bandaraya Kuala Lumpur, penulis mengalah akhirnya dengan tuntutan mata yang sudah terlalu sukar untuk berjaga mahupun terus meronda-ronda di sekitar bandaraya. Perjalanan pulang penulis masih ditemani dengan hiruk-pikuk muda mudi yang berkeliaran di bahu-bahu jalan, di pusat-pusat hiburan dan ada juga yang berkumpul di restoran-restoran yang dibuka sehingga ke awal pagi. Geng mat-mat motor masing-masing dengan agenda mereka, kelompok-kelompok warga asing pula asyik dalam dunia keseronokan mereka, lantas, di manakah tempat untuk anak-anak merdeka pada malam itu? Hati penulis dihimpit pelbagai rasa. Sesungguhnya, penulis tidak nampak nilai kemerdekaan yang sebenarnya hidup dalam jiwa rakyat Malaysia pada hari ini walaupun negara sudah mencapai kemerdekaan selama 51 tahun!

No comments:
Post a Comment