Wednesday, September 10, 2008

PROGRAM KELUPAT BERLANGSUNG MERIAH

TEMA: GEMBIRA
Program tahunan Kolej 12 berkesinambungan lagi dengan penganjuran program KELUPAT (Keluarga Patriotik) buat kali ketiganya. Program yang mengambil tempat seminggu selepas tamatnya Ujian Satu Pertengahan Semester baru-baru ini telah diisi dengan banyak aktiviti menarik yang pastinya memberi peluang kepada para penghuni kolej kediaman itu melempiaskan semua tekanan di sepanjang musim ujian dijalankan.
Program KELUPAT merupakan antara program besar yang dirancang bagi memenuhi kalendar aktiviti yang berlangsung sepanjang semester ini selepas berakhirnya program Minggu Tautan Siswa (MITS) yang dirancang khas untuk pelajar-pelajar baru kolej tersebut. Program KELUPAT dijalankan serentak dengan satu lagi program iaitu English Week. Tujuan penganjuran program KELUPAT adalah untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam jiwa setiap penghuni Kolej 12 bersempena sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-51 yang bakal diraikan pada 31 Ogos akan datang. Selain itu, program yang melibatkan semua penghuni kolej ini turut berfungsi untuk merapatkan ukhwah antara pelajar-pelajar junior dan senior serta mengelakkan timbulnya jurang pergaulan antara mereka.

Program yang dijadualkan dijalankan selama dua minggu itu walaubagaimanapun hanya menggunakan masa hujung minggu, iaitu pada hari Sabtu dan Ahad sahaja untuk penganjuran segala aktiviti kerana tidak mahu mengganggu waktu kuliah dan aktiviti lain pelajar pada hari biasa. Program yang keseluruhannya dilaksanakan selama empat hari ini telah mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada para penghuni kolej terutamanya bagi pelajar baru yang pertama kali berpeluang merasai kemeriahan program KELUPAT yang sudah mencecah kali ketiga penganjurannya pada tahun ini (2008). Antara aktiviti yang dilaksanakan melalui program tersebut ialah pertandingan kebudayaan yang merangkumi pertandingan Dikir barat antara aras, koir, sukaneka, sukan dan acara kemuncaknya ialah acara penutup iaitu kenduri aras yang berlangsung pada 24 Ogos. Ternyata, kemeriahan yang dirasai sejak dari Majlis Perasmian program ini telah berlanjutan sehinggalah ke hari terakhir program ini berlangsung. Wajah-wajah ceria dan gembira jelas terpancar pada setiap peserta dan krew yang bertungkus-lumus dalam menjayakan program tahunan kolej ini di sepanjang pengisian dilaksanakan.
Antara penyokong yang turun untuk memeberi sokongan kepada pasukan aras masing-masing

Bagi pelajar-pelajar baru yang julung kali menyertai program ini, sudah tentu satu pengalaman manis diraih oleh mereka. Komitmen dan penyertaan daripada warga kolej amat memberangsangkan dan hasilnya semangat kekeluargaan dapat dipupuk daripada penganjuran program seperti ini. Sokongan yang diberikan oleh Ayahanda Pengetua Kolej 12, Dr. Saidon bin Amri yang turut sama turun padang dan sentiasa memantau perjalanan program telah banyak membantu dalam menyempurnakan penganjuran. Bukan itu sahaja, kerjasama dan bantuan yang diberikan oleh para staf serta felo-felo yang tidak mahu ketinggalan dalam menggerakkan program wajib kolej ini juga menjadikan program ini sebagai satu tapak untuk membina satu ikatan utuh antara pihak pengurusan kolej dan para penghuni Kolej 12 khususnya. Walaubagaimanapun, bagi memantapkan perjalanan aktiviti yang dijalankan, satu jawatankuasa kerja telah diwujudkan sebagai tulang belakang kepada program KELUPAT ini yang ahlinya terdiri daripada 40 orang pelajar senior dan dimantapkan lagi dengan kehadiran ahli-ahli Majlis Tertinggi Mahasiswa (MTM) Kolej 12 yang banyak memberi sumbangan idea serta menggembeling tenaga dalam melancarkan aktiviti yang dijalankan.

Azizah Hussain-gembira merasai pengalaman pertama menyertai KELUPAT

Dalam kegembiraan beraktiviti, terlalu banyak detik-detik gembira yang dialami oleh para peserta program. Pengalaman kali pertama melibatkan diri dengan aktiviti seumpama ini telah meninggalkan satu pengalaman manis buat salah seorang pelajar tahun dua, jurusan Sains Statistik, Azizah Hussain. Padanya, walaupun sudah memasuki semester ke tiga berada di sini, inilah pertama kali beliau turut sama menyertai setiap aktiviti yang dijalankan kerana tidak mahu melepaskan peluang buat kali kedua untuk menyertainya. Menurutnya, beliau berasa teruja dengan penganjuran program kali ini kerana pengisinnya yang lebih menarik dan meriah. Pada sesi lalu, beliau tidak berkesempatan untuk turut merasai keseronokan beraktiviti bersama teman-teman sekolej kerana terpaksa pulang ke kampung atas urusan keluarga. Tambahnya lagi, pada sesi ini beliau berhasrat untuk lebih aktif menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan kerana sedar bahawa kehidupan di pentas universiti bukan hanya sekadar memenuhi tuntutan menimba ilmu semata-mata, tetapi perlu juga melibatkan diri dengan aktiviti sosial dan kepimpinan yang kelak akan dapat membentuk keperibadian serta menjadikan seorang mahasiswa itu cemerlang dari pelbagai sudut.

Pada malam program kebudayaan dianjurkan, penulis yang turut sama turun kerana bertugas sebagai salah seorang krew program dapat merasai kehangatan malam pertandingan yang melibatkan lima pasukan yang mewakili lima aras blok kediaman berentap. Gabungan penghuni dari blok pelajar lelaki bersama penghuni blok perempuan telah menghasilkan setiap persembahan yang mantap dan bertenaga dari setiap pasukan. Idea kreatif serta bakat para peserta terpamer melalui persaingan yang sihat pada sesi pertandingan berlangsung. Dewan menjadi gamat dengan sorakan sokongan daripada para penghuni aras yang tidak bertanding, tetapi tetap hadir demi memberi semangat kepada pasukan aras masing-masing. Apa yang menarik perhatian penulis adalah keadaan dewan yang bertukar menjadi gegak gempita setiap kali ada pasukan yang memepersembahkan persembahan dikir barat. Istimewanya pertandingan pada malam itu, untuk kategori dikir barat turut disertai oleh srikandi-srikandi yang tidak mahu tewas dalam memberi cabaran sengit kepada pasukan-pasukan lain.
Lega setelah selesai membuat persembahan

Setiap kali sebelum dan sesudah persembahan, penulis dapat menyaksikan pelbagai reaksi dan ekspresi muka yang dipamerkan oleh para peserta. Ada yang gementar, gemuruh kerana tidak biasa beraksi di pentas. Ada yang asyik ketawa kerana tidak sabar untuk membuat persembahan. Ada pula riak wajah ketakutan dan bimbang. Boleh dikatakan tinjauan penulis pada malam itu tidak sia-sia kerana berjaya merakam beberapa aksi menarik daripada para peserta. Kehadiran audiens yang datang memenuhi dewan juga menyaksikan banyak aksi nakal dan spontan yang terlahir dengan sendirinya sewaktu masing-masing asyik menyaksikan persembahan daripada para peserta. Majoriti berpuas hati dan terhibur dengan gaya persembahan pada malam pertandingan itu. Walaubagaimanapun, keputusan pertandingan tiak terus diumumkan pada malam itu kerana ingin memberi kejutan kepada para peserta dan keputusan hanya diumumkan pada Majlis Penutup program tersebut.
Krew-krew yang bertungkus-lumus dalam memastikan program KELUPAT berjalan dengan lancar

Bagi kesemua krew dan ahli jawatankuasa program yang terlibat, masing-masing berasa gembira kerana aktiviti yang dirancang berjalan lancar. Walaupun masing-masing penat dan letih untuk membuat persiapan serta menguruskan segala kelengkapan yang diperlukan untuk penganjuran tersebut, namun kepenatan itu ditutup dengan kejayaan serta kemeriahan aktiviti yang berlangsung. Para petugas juga tidak melepaskan peluang untuk bergambar kenangan pada malam itu sebaik sahaja malam pertandingan kebudayaan itu melabuhkan tirai. Penulis sempat menemubual salah seorang rakan yang berperanan sebagai Pengarah program pada malam itu. Beliau berasa cukup lega dengan keberhasilan program pada malam itu. Tidak dinafikan, beliau terpaksa menyerap pelbagai tekanan daripada ahli jawatankuasa bawahan sepanjang tempoh persediaan program tersebut. Akhirnya beliau berasa cukup gembira dengan pencapaian krew-krew pada malam itu.

Pada 24 Ogos pula berlangsung acara yang paling ditunggu-tunggu oleh para penghuni kolej, iaitu malam merewang (gotong-royong memasak). Pada malam itu, para penghuni yang secara sukarela turun beramai-ramai untuk menyediakan bahan-bahan untuk dimasak sehingga ke lewat malam. Acara itu kelihatan lebih meriah apabila disertai juga oleh kaum adam yang membantu melakukan kerja-kerja berat. Pelajar senior dan junior tidak ketinggalan untuk sama-sama memberi komitmen bagi menyiapkan apa yang patut. Tugas-tugas seperti membersih dan memotong ayam dan daging dilakukan seawal waktu petang lagi. Pada malamnya pula persiapan diteruskan dengan memotong sayur, menggoreng ayam serta membantu tukang masak yang dibayar khas untuk menyediakan gulai kawah bagi hidangan esok hari. Penulis yang bersama-sama berada dalam kelompok yang terlibat dengan kerja-kerja merewang ini dapat merasakan keseronokan bekerja beramai-ramai serta saling bantu-membantu menyediakan hidangan untuk kenduri aras yang bakal berlangsung pada keesokannya. Pada malam itu, para krew dan ahli jawatankuasa program berjaga sehingga ke jam 3.00 pagi, bukan hanya untuk menyiapkan segala persiapan tetapi kerana tidak berasa mengantuk dengan kemeriahan pada malam itu.
Aktiviti merewang turut merapatkan ukhwah sesama pelajar

Pada pagi Ahad, 24 Ogos yang penuh ceria itu, berlangsunglah aktiviti sukaneka antara aras yang disertai oleh para pelajar junior khususnya yang mewakili aras masing-masing. Pelbagai permainan yang menyeronokkan telah dianjurkan seperti permainan lari dalam guni, tiup gula dalam tepung, isi air dalam belon dan banyak lagi. Para peserta menunjukkan aksi yang tidak kurang hebatnya dalam setiap permainan ini walaupun pada awalnya agak malu untuk mencubanya. Setiap aras berlumba-lumba untuk mendominasi permainan dan merebut gelaran juara dan hadiah yang ditawarkan. Banyak aksi-aksi menarik dan lucu dapat penulis lihat sepanjang aktiviti fizikal ini berlangsung. Aktiviti itu berakhir pada jam 11.30 pagi dan pelajar semua bersedia untuk sesi Majlis Penutupan serta seterusnya menjamu selera beramai-ramai. Majlis Penutupan yang disempurnakan oleh Tuan Pengetua Kolej 12 itu menandakan berakhirnya perjalanan program KELUPAT yang dijalankan dalam tempoh dua minggu bermula dari 10 Ogos sehinggalah acara kemuncaknya pada 24 Ogos. Pada majlis itu juga diumumkan pemenang bagi setiap acara termasuklah acara pada malam kebudayaan dan pertandingan sukan. Akhirnya, gelaran juara keseluruhan telah disandang oleh aras Empat yang penghuninya mengenakan pakaian dengan warna tema merah hasil daripada kejayaan merangkul tempat pertama dalam empat acara pertandingan.

No comments: