Wednesday, September 10, 2008

CITRA KEHIDUPAN


Salah satu aktiviti kegemaran pada masa senggang- keluar bersama teman-teman

TEMA: WARNA-WARNA KEHIDUPAN
Sekilas pandang sudah pasti ramai yang menyangka sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu laju itu adalah milik seorang anak muda yang berjiwa agresif. Dengan gaya pemanduan yang seakan cuba mencabar pengguna –pengguna jalanraya yang lain, sudah tentu juga tiada siapa yang mahu mengambil risiko untuk menyainginya. Lihat sahaja dari rekabentuk kereta Wira Aeroback yang diubah suai, ditambah pula dengan corak serta kombinasi warna merah dan hitam yang menghiasi badan kereta tersebut, siapa percaya bahawa pemiliknya merupakan seorang wanita yang sudah mencecah usia 44 tahun?
''Inilah suami kedua say''. Itulah antara kata-kata nakal yang keluar dari mulut seorang wanita bergelar guru yang telah berkhidmat di SRK Seafield, Subang Jaya itu selama lebih sepuluh tahun. Puan Rasmin Arni Mohamad merupakan salah seorang daripada ribuan individu yang menggilai dunia permotoran. Namun, situasi ini adalah sesuatu yang istimewa kerana tidak ramai wanita yang sudah berkahwin dan mempunyai kerjaya tetap yang benar-benar meminati cabang ini. Penulis berasa cukup bertuah kerana diperkenalkan dengan beliau oleh kakak ipar penulis sendiri. Penulis merasakan ada sesuatu yang istimewa yang patut penulis singkap di sebalik tirai kehidupan wanita yang berasal dari Kuala Terengganu ini.
Kereta unik yang menjadi penyeri hidup Puan Arni

Puan Rasmin Arni merupakan anak sulung daripada enam beradik. Beliau telah dilahirkan di Kula Terengganu, Terengganu pada 24 April 1964. Beliau membesar dan melalui alam persekolahan sepenuhnya di tanah tempat tumpah darahnya sehinggalah beliau bertemu jodoh dengan suami tercinta pada usia seawal 19 tahun. Suaminya, En. Anuar Abdullah yang kini bertugas sebagai pegawai di Syarikat Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) hanya dikenalinya melalui surat. Penulis sebenarnya ada mencungkil rahsia dan kisah pertemuan yang membawa mereka ke jinjang pelamin, namun cukuplah ianya sebagai pengetahuan penulis sahaja. Kisahnya memang menarik dan tidak dijangkakan. Sebaik mendengar pengalaman cinta yang berputik antaranya dan suami, penulis terfikir akan hakikat jodoh pertemuan segalanya telah diaturkan-Nya. Kini walaupun masih tidak dikurniakan dengan cahaya mata, namun beliau tetap bersyukur kerana istana bahagia yang dibina bersama insan pilihan tetap teguh berdiri sehingga ke hari ini.

Mungkin juga atas dasar itulah beliau mengubah orientasi hidupnya bukan hanya kepada suami, tetapi juga terhadap hobi mengubah rekabentuk kenderaannya. Tidak dinafikan, mungkin sukar bagi seorang wanita untuk mengubah fokus daripada keutamaannya kepada keluarga kepada sesuatu perkara yang di luar kebiasaan. Namun, segalanya telah dibuktikan oleh beliau. Beliau redha dengan apa yang mendatang dan menganggap itu semua sebagai suatu ujian dari Tuhan buat diri dan suaminya. Walaubagaimanapun, hobi baru yang dilihat agak lasak ini mula diterokainya sejak 15 tahun yang lalu. Beliau merasakan bahawa jiwanya terdorong untuk melibatkan diri dengan hobi yang berkaitan dengan automobil ini. Sejak itu, beliau sering membaca majalah-majalah yang berkaitan dengan bidang automobil dan sedikit demi sedikit membuat perubahan ke atas keretanya. Hobi yang pada asalnya dianggap sekadar suka-suka seterusnya melarat dan berterusan dari semasa ke semasa. Beliau sanggup mengeluarkan sehingga mencecah ribuan ringgit untuk mengubahsuai kereta asalnya mengikut peredaran semasa. Tidak kira dari segi fizikal, kualiti enjin, susun atur sehingga ke hiasan dalaman kereta juga sentiasa diubah dan di’upgrade’kan sesuai dengan cita rasa beliau. Lihat shaja dariapada nombor plat keretanya yang agak unik dan kelihatan eksklusif.

Keadaan dalam kereta selepas didekorasi mengikut citarasa pemiliknya

Status sebagai wanita dan isteri orang baginya bukanlah suatu penghalang bagi diri beliau untuk terus meminati bidang automobil ini secara lebih serius. Mungkin hanya orang-orang yang rapat dengannya sahaja yang tahu bahawa hobi utama beliau ialah memandu. Tentu ada pula yang memperlekehkan kenyataan ini dengan mengatakan bahawa ianya sesuatu yang biasa. Memang benar apabila dilihat dari sudut kebiasaan, tapi apa yang ingin difokuskan di sini ialah kemampuannya memandu dengan gaya dan tahap kelajuan yang mencabar bagi seorang wanita. Bayangkanlah beliau mampu mengambil masa hanya selama empat jam perjalanan dari kediamannya di Subang Jaya menuju ke kampung halamannya di Kuala Terengganu dengan memandu secara bersendirian pada waktu malam. Penulis agak terperanjat dengan apa yang diberitahu. Pekara ini bukan hanya berlaku hanya sekali tanpa dirancang, tetapi ianya sudah beberapa kali dan atas kehendaknya sendiri. Mungkin tidak ada wanita lain yang sanggup mengambil risiko sebegitu dan berapa ramai pula yang berani meredahi kegelapan malam memandu seorang diri dengan kadar kelajuan yang begitu tinggi. Penulis cuba mengaitkan dua perkara tentang beliau, sifat kental dan berani yang ada dalam jiwanya serta hobi memandu yang mula menguasai dirinya. Maka, dengan kombinasi komponen-komponen tersebut, maka tidak perlu disangkal lagi akan keupayaan beliau memandu kenderaan pacuan empat rodanya dalam apa keadaan sekalipun.

Wanita yang berusia awal 40-an ini walaupun cukup meminati hobi yang biasanya dimonopoli oleh golongan lelaki ini, namun wanita kental ini masih lagi tebal dengan sifat kewanitaan dan tetap memiliki naluri keibuan meskipun tidak pernah memiliki cahaya mata sendiri. Waktu luangnya sering diisi dengan keluar bersama teman-teman. Beliau amat gemar keluar ke pusat-pusat membeli belah serta bazar-bazar larut malam hinggalah melewati pinggir-pinggir kota yang menempatkan pusat hiburan sekadar untuk melihat kerenah manusia yang semakin menggila pada hari ini. Adakalanya beliau suka menghabiskan masa bersama anak-anak buah yang masih kecil. Beliau tidak kekok melayan kerenah si cilik dan gemar juga membawa anak-anak kecil itu beriadah dan bersiar-siar bersamanya. Selain dari aktiviti bersama teman dan keluarga, beliau turut aktif dengan tugas sebagai guru yang memegang beberapa jawatan penting yang menuntut beliau untuk selalu berkejar ke sana ke mari menguruskan banyak perkara. Selain dari minat dan tugas yang digalasnya, beliau senang merehatkan minda dan fizikal dengan mengikuti aktiviti senamrobik dan tarian di rumah. Yang menariknya, wanita bergelar guru ini turut gemar mendengar muzik dan menyanyi. Malah, tidak hairanlah sekiranya di dalam keretanya terdapat begitu banyak VCD karaoke yang dibeli untuk dipasang untuk menemani perjalanannya di samping menghilangkan kebosanan sewaktu memandu.
Pn. Rasmin Arni- wanita bekerjaya yang lasak

Menyoroti perjalanan hidupnya, terlalu banyak kisah suka-duka yang dialaminya bermula daripada usia kanak-kank sehinggalah ke hari ini. Peristiwa pahit dan manis silih berganti datang dalam hidupnya sehingga beliau menjadi begitu tabah dan pengalaman-pengalaman lalu yang amat berharga itulah menjadi lukisan yang mewarnai kehidupannya sepanjang 44 tahun ini. Ditanya apa peristiwa pahit yang pernah dilaluinya, beliau mengakui saat yang paling memilukan adalah semasa kehilangan ayahanda tersayang yang kembali ke rahmatullah dua tahun yang lalu (2006). Kata beliau, bapanya merupakan insan yang paling banyak memberi dorongan dan sentiasa ada di sisinya sewaktu beliau memerlukannya. Oleh yang demikian, pemergian bapa buat selama-lamanya dianggap sebagai satu kehilangan besar dalam hidupnya. Namun katanya, segala nasihat dan pesanan yang pernah disampaikan oleh arwah akan menjadi pedoman hidup beliau buat selamanya.

Menyingkap pula kenangan manis yang pernah dialmi, beliau terus tertawa kecil mengingatkan mungkin ada sesuatu yang menarik untuk dikongsi bersama penulis. Wanita montel itu mula membuka satu rahsia tentang dirinya. Kata beliau, mungkin jika penulis menemuinya lima tahun dahulu, penulis tidak akan melihat orang yang sama sepertimana yang berada di hadapan penulis pada ketika ini. Menurutnya, suatu waktu dahulu, berat badannya pernah mencecah ke angka 150 kg dengan ketinggian hanya 155 cm. Keadaan tubuh badannya yang agak besar dan kelihatan begitu berisi pada waktu itu telah mendorong beliau berusaha untuk menurunkan berat badan. Lantas, dengan usaha dan sistem diet yang diamalkan, dalam masa enam bulan, beratnya turun kepada 75 kg. Beliau begitu teruja dengan hasil yang diperoleh dan perubahan yang dapat dilihat pada dirinya. Apa tidaknya, selama itu jugalah menurut beliau hanya memakan syur-sayuran dan buah-buahan. Memang dalam tempoh itu beliau cukup menjaga jadual dan pemilihan pemakanan sehinggalah akhirnya beliau berpuas hati dengan bentuk tubuh yang dimilikinya hari ini. Penulis turut tersenyum mendengar pengalaman bagaimana wanita berhati waja itu menguruskan badan dan itulah salah satu daripada memori manis yang pernah tercatat dalam diari hidupnya.





No comments: