Thursday, August 7, 2008

HUJAN EMAS DI NEGERI ORANG

HUJAN EMAS DI NEGERI ORANG

Ahmad ramah melayan pelanggan yang singgah ke kedainya.

Bergelar pengurus premis dan pelajar pada masa yang sama bukanalah satu perkara yang mudah bagi Ahmad.


Wajah seorang perantau...meskipun kehidupannya lebih tenang di Malaysia, namun kerinduan kepada tanah air sendiri tetap menggunung di hati.



‘Menuntut ilmu, biarlah sampai ke negeri China’. Begitulah kata-kata hikmat yang menjadi pendorong kepada Ahmad Hussein, seorang warga Iraq yang datang bertamu di bumi permai Malaysia sejak lima tahun yang lalu. Kedatangannya ke negara ini semata-mata untuk meneruskan hasratnya melanjutkan pengajian di peringkat Phd dalam jurusan kejuruteraan. Kini, lelaki yang berusia dalam lingkungan 30-an itu bangga bergelar pelajar Universiti Putra Malaysia di samping mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan sejak September 2005.

Pertemuan yang singkat dengan lelaki tinggi lampai ini adalah sesuatu yang tidak dirancang oleh penulis. Sebaik melalui deretan kedai runcit di sekitar Sri Serdang, mata penulis tertangkap pada kelibat seorang lelaki berbadan tegap yang diyakini bukan berasal dari negara ini. Penulis hanya mencuba nasib dan akhirnya mendapat persetujuan dari beliau untuk mengadakan sesi temubual singkat.

Beliau merupakan anak kelahiran Bandar Baghdad dan berasal dari keluarga yang beragama Islam. Kesemua ahli keluarga termasuk ibu dan bapanya masih menetap di negara Iraq. Menurutnya, beliau datang dari sebuah keluarga yang sederhana dan adik-beradik yang lain turut mempunyai latar belakang akademik yang agak baik. Penulis pada mulanya tidak berniat untuk mengambil masa yang lama sewaktu menemuramah beliau memandangkan beliau menyatakan bahawa beliau mempunyai komitmen yang lain di luar. Namun, apabila penulis mula berbicara dan bertanyakan tentang latar belakangnya, ternyata beliau tidak kekok atau lokek untuk memberi maklumat dan menceritakan serba-sedikit perjalanan hidupnya kepada penulis.

Lantas, peluang yang ada tidak penulis persiakan. Satu demi satu persoalan yang diajukan dijawab baik oleh Ahmad dengan senyuman dan wajah ceria. Ternyata lelaki warga asing ini berasa selesa dengan situasi yang berlaku tika itu. Pelajar jurusan Kejuruteraan Bioteknologi itu amat senang untuk berbicara apabila diajukan bagaimana beliau boleh terlibat dengan perniagaan runcit yang dikendalikannya kini. Jualan runcit yang dijalankan berasaskan produk makanan dari luar negara itu telah beroperasi selama hampir tiga tahun. Barangan jualan diperoleh dengan mudah dari pembekal luar negara yang mempunyai rangkaian wakil pembekalnya di Malaysia. Menurut Ahmad lagi, bahan makanan yang dijual adalah halal dan kebanyakannya datang dari Arab Saudi, Syria dan Iran.

Menurut beliau lagi, perniagaan yang dijalankan bermula agak perlahan kerana kebanyakan bahan yang dijual adalah produk luar negara dan menjadi sumber makanan pelajar-pelajar asing sahaja. Namun begitu, peningkatan jualan dapat dilihat dari semasa ke semasa setelah semakin ramai pelajar warga asing yang kebanyakannya terdiri daripada rakyat Iraq dan Iran mengunjungi premisnya. Sehingga ke hari ini, pelanggan-pelanggan beliau bukan sahaja terdiri dari warga asing, malah orang-orang tempatan juga ada yang singgah dan membeli bahan makanan dari kedainya. Pada ketika itu jelas membayangkan Ahmad cukup gembira dengan perkembangan dan pencapaian tersebut.

Premis beliau beroperasi dari jam 9 pagi sehinggalah pada jam 10 malam. Lantas, penulis terus mengajukan persoalan yang bermain di minda, bagaiamana beliau dapat membahagikan masa antara waktu ke kuliah dan dalam masa yang sama menguruskan kedai runcit tersebut. Namun katanya, tugas beliau menjadi lebih ringan dengan adanya seorang pembantu kedai yang akan mengambil alih pengurusan perniagaan sewaktu beliau menghadiri kuliah. Waktu-waktu petang biasanya beliau akan singgah ke premisnya untuk meninjau keadaan jualan. Beliau tidak langsung merasakan perkara itu sebagai satu beban kerana apa yang dilakukannya kini adalah satu tanggungjawab dan lahir dari keinginannya sendiri. Walaubagaimanapun, fokus utama tetap terarah pada pengajiannya yang berbaki setahun sahaja lagi.

Apabila ditanya apakah cabaran utama sebaik ingin memulakan perniagaan tersebut, beliau mengakui bahawa status warga asing menjadi kekangan baginya untuk mendapatkan kebenaran untuk menjalankan perniagaan runcit itu. Namun begitu, setelah usaha dilakukan akhirnya beliau bersepakat dengan seorang teman yang merupakan orang tempatan untuk mengadakan usahasama bagi membuka premis tersebut. Sungguhpun begitu, beliau tidak pernah berasa patah semangat, jauh sekali berkecil hati dengan keadaan itu. Beliau sedar bahawa untuk memulakan hidup di tempat baru sememangnya memerlukan ketabahan dan kekuatan menghadapi segala cabaran yang mendatang.

Berbicara mengenai kehidupannya sebagai seorang anak rantau, beliau mengakui terkadang terbit rasa rindu kepada keluarga yang berada jauh di mata. Sementelahan lagi apabila penghijrahannya ke sini sudah menjangkau hampir enam tahun. Kerinduan makin mencengkam lebih-lebih lagi tatkala menjelangnya hari perayaan seumpama Aidilfitri. Walaubagaimanapun, beliau menyatakan hasrat yang terpendam untuk terus menetap di bumi Malaysia sebaik menamatkan pengajian Phdnya tidak lama lagi. Menurut beliau lagi, mungkin beliau akan terus bermastautin di negara ini dan seterusnya mencari pasangan hidup serta membina sebuah keluarga yang bahagia di negara yang memberi sinar baru dalam hidupnya itu. Tatkala membicarakan soal ini, wajahnya memaparkan raut ceria dengan senyuman tak lekang dari bibirnya.

Sebaik sahaja penulis menyuarakan keinginan untuk mengabadikan beberapa keping gambarnya, beliau tidak menolak sebaliknya memberi keizinan untuk penulis menyelesaikan tugas yang perlu disiapkan pada hari itu. Daripada sikap yang dipamerkan oleh Ahmad, penulis yakin bahawa beliau merupakan seorang yang berfikiran terbuka. Hal ini penulis utarakan kerana sebelum ini penulis amat sukar mendapatkan kerjasama daripada beberapa warga asing yang turut menjalankan perniagaan di sekitar Sri Serdang. Lebih-lebih lagi sewaktu penulis meminta kenbenaran untuk mengambil foto mereka. Setelah penulis berusaha sedaya mungkin, akhirnya penulis berjaya juga menemui individu yang tidak susah untuk memberikan komitmen.

Sebelum mengundur diri, penulis mengucapkan ribuan terima kasih kepada beliau kerana sudi ditemuramah. Penulis turut memohon maaf kerana melengahkan sedikit masanya untuk melakukan urusan di luar. Di hujung pertemuan, beliau sempat memberi kata-kata semangat kepada penulis supaya mencapai kecemerlangan dalam bidang yang diceburi. Lewat petang itu, penulis melangkah keluar dari premis itu dengan rasa yang girang.

No comments: