Friday, August 15, 2008

CEMAS


Penduduk Taman Perumahan Sri Serdang Sudah Puas Bersabar

SRI SERDANG – Kehadiran anjing peliharaan yang dilepas bebas oleh beberapa orang penghuni Taman Perumahan Sri Serdang telah mengundang rasa cemas dan tidak selesa di kalangan penduduk setempat.
Situasi tersebut ternyata boleh mencetuskan bahaya kepada para penghuni taman perumahan itu terutamanya terhadap keselamatan kanak-kanak.
Hal ini tidak dapat dielak kerana majoriti penduduk yang tinggal di kawasan tersebut terdiri dari bangsa bukan Melayu.
Kebanyakan daripada mereka merupakan individu dan pasangan berkerjaya dan banyak masa dihabiskan untuk menjalankan urusan di luar.


Kebanyakan penghuni bukan Melayu memelihara anjing sebagai alat untuk mengawal keselamatan kediaman mereka

Salah satu tujuan, anjing-anjing yang dipelihara diharap dapat mengawal keselamatan rumah mereka terutamanya apabila mereka tiada di rumah.
Walaupun kebanyakan daripada pemilik haiwan berkenaan menempatkan binatang tersebut dalam kawasan pagar rumah dan telah dirantai, namun ada juga pemilik yang kurang sensitif terhadap kebajikan penduduk sekitar dengan membiarkan anjing peliharaan mereka berkeliaran di sekitar kawasan petempatan dan taman permainan.
Tambah menggusarkan golongan peniaga, anjing-anjing berkenaan sentiasa berkeliaran di kawasan di mana mereka menjalankan aktiviti jualan makanan.
Keadaan ini turut menjejaskan sumber pendapatan harian mereka apabila para pelanggan berasa tidak senang dan ragu-ragu dengan kualiti kebersihan di gerai mereka.


Sentiasa berjaga-jaga...seorang pekerja perkhidmatan pos mengakui timbul rasa gentar sewaktu mula-mula berhadapan dengan situasi sebegini

Keadaan yang tidak menyenangkan ini turut dirasai oleh petugas yang berkhidmat sebagai penghantar pos ke kawasan taman perumahan itu.
Kehadiran anjing-anjing yang berkeliaran kadangkala membantutkan urusan penghantaran dan ada ketikanyan kerja mereka terhalang dek reaksi haiwan yang amat sensitif dengan kehadiran orang asing itu.
Sungguhpun anjing-anjing tersebut jarang bertindak ganas , namun tiada siapa dapat menduga sekiranya berlaku serangan secara mengejut yang kelak bakal mengundang padah kepada mereka.
Lantas, rasa bimbang dan cemas senantiasa bersarang di hati mereka terutamanya apabila mendapati keselamatan diri terancam.


Detik-detik cemas sewaktu seekor anjing liar tiba-tiba meluru ke arah seorang petugas penghantar perkhidmatan pos

Salah seorang petugas perkhidmatan penghantaran pos yang mahu dikenali dengan nama Asri berkata, pada awal penglibatnnya dengan tugas tersebut, dia berasa serik untuk melalui kawasan Taman Perumahan Sri Serdang kerana pernah berhadapan dengan situasi yang mencemaskan iaitu dikejar seekor anjing garang yang sedang kelaparan.
Lebih daripada itu, masalah juga timbul apabila ramai penduduk yang mengadu akan kebersihan kawasan taman tersebut yang terjejas ekoran daripada aktiviti anjing-anjing yang dilepaskan yang sering mencari sisa makanan di dalam tong sampah yang ditempatkan di sekitar kawasan itu.


Kawasan sasaran yang menjadi tumpuan anjing-anjing mencari makanan

Menurut salah seorang warga emas berbangsa India, Lekka, 60, mengakui bahawa situasi di sekitar kawasan petempatan menjadi tidak tenteram dengan kegiatan tidak terkawal anjing-anjing yang berkeliaran tanpa pemantauan tersebut.
Beliau menambah bahawa sesi istirehat keluarganya kadangkala terganggu dengan salakan anjing berterusan pada waktu malam hinggalah ke awal pagi.
Bertanyakan sama ada beliau pernah mengalami pengalaman mencemaskan tatkala berhadapan dengan haiwan itu, beliau langsung mengiakan dan menceritakan kisahnya dikejar seekor anjing terbiar di kawasan kejiranan itu.


Anjing yang dibiar lepas tanpa kawalan pemiliknya membawa ancaman kepada penduduk sekitar

Walaupun beberapa laporan telah dibuat oleh penduduk, namun pihak berkuasa seakan memandang enteng masalah ini dan menganggap ianya sebagai perkara kecil yang akan berakhir dengan sendirinya.
Sesungguhnya harapan penduduk di taman perumahan itu untuk memperoleh hak mereka bagi meneruskan hidup dalam suasana yang aman dan selesa adalah begitu tinggi.
Para pemilik haiwan-haiwan tersebut seharusnya mengambil pusing dengan rasa tidak puas hati dan tidak selesa yang dirasai oleh penduduk sekitar serta segera mamainkan peranan sebelum tindakan tegas diambil di kemudian hari.

1 comment:

Anonymous said...

Bagus. Pastikan tak ada kesalahan ejaan.

Markah: 8/10