Thursday, July 31, 2008

Lets we crop the pictures!!!


SEBELUM...


SELEPAS...



SEBELUM...


SELEPAS...


Monday, July 28, 2008

Berat Mata Memandang, Lebih Berat Bahu Yang Memikul

Kesungguhan yang ditonjolkan oleh seorang ibu yang sanggup mengendong anaknya yang terlena kepenatan


Wajah keletihan yang cuba disembunyikan oleh si ibu


Si anak kecil terus hanyut dibuai mimpi tanpa menghiraukan situasi hingar di sekeliling

Cuba bertahan. ..Meskipun berat beban yang dipikul, namun si ibu masih sempat tawar menawar harga barangan

BERAT MATA MEMANDANG, LEBIH BERAT BAHU YANG MEMIKUL

'Kasihnya ibu membawa ke syurga, kasihnya saudara masa berada'. Bait lagu yang menggambarkan kasih dan pengorbanan seorang wanita mulia yang dipanggil ibu terngiang-ngiang di telinga penulis tatkala terpandang seorang wanita berusia dalam lingkungan 40-an mengendong seorang kanak-kanak perempuan yang terlena di bahunya sewaktu penulis berjalan di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur baru-baru ini. Meskipun dalam kesibukan dan kesesakan orang ramai yang berpusu-pusu keluar ke ibu kota pada hujung minggu itu, si ibu teguh dengan keputusannya untuk tidak meninggalkan gadis kecil itu sendirian di dalam kenderaan miliknya. Mungkin kerana memikirkan bahaya atau sebarang kemungkinan yang bakal menimpa, si ibu sanggup memikul anak perempuannya untuk menuju ke destinasi yang telah ditentukan.
Susuk badan wanita itu yang agak kecil membuatkan penulis terfikir mampukah dia bertahan dan mengendong anaknya di sepanjang perjalanan. Anak kecil yang penulis kira berusia dalam lingkungan 4 tahun itu terus lena di bahu ibunya walaupun keadaan di sekitarnya begitu bising dengan bunyi enjin kenderaan dan hiruk-pikuk suara para pekedai dan orang awam yang lalu lalang. Di sepanjang perjalanan, penulis terimbau pada wajah bonda di kampung yang terlalu banyak berkorban dan bersusah payah untuk membesarkan penulis sembilan beradik. Mungkin beginilah yang pernah penulis alami sewaktu kecil dahulu, dikendong, dikelek dan ditatang bagai minyak yang penuh.
Sesekali penulis mempercepatkan langkah, teringin untuk memandang sekilas lalu wajah gigih si ibu. Meskipun terbit rasa kasihan terhadap wanita tersebut dan terasa juga lenguh di bahu penulis, namun penulis tahu, kepenatan yang ditanggung oleh wanita itu lebih hebat kerana perlu mengendong tubuh montel si anak di sepanjang perjalanan. Perlahan-lahan muncul rasa kagum penulis terhadap kesungguhan wanita itu. Penulis tertanya-tanya ke manakah arah tuju wanita tersebut?
Akhirnya langkah penulis terhenti sewaktu melihat si ibu meredahi sekumpulan orang awam yang berada di pintu masuk salah sebuah gedung kain yang sedang mengadakan promosi jualan. Penulis hanya tersenyum melihat gelagat wanita itu. Sempat pula penulis menyoroti wajah comel kanak-kanak perempuan yang masih nyenyak dalam tidurnya. Penulis yakin bahawa si cilik itu tidak mengetahui akan dirinya yang sedang menjadi perhatian sedari tadi. Lebih-lebih lagi, anak kecil itu sudah pastinya tidak menyedari akan kesusahan yang dilalui ibunya di sepanjang tempoh dia terlena. Sekali dua penulis melihat si ibu membetulkan posisi anaknya yang tidak stabil sambil mengusap lembut ubun-ubun si anak. Apabila penulis menghampiri mereka dengan lebih dekat, jelas kelihatan titisan peluh yang mula membasah pada wajah anak kecil itu. Mungkin disebabkan oleh faktor cuaca panas yang agak membahang di sepanjang laluan tadi. Pada fikiran penulis, sudah tentulah si ibu lebih lagi bermandi peluh dengan memikul beban yang memberat di bahu. Waktu- waktu begini penulis merasakan begitu tulus kasih yang dicurahkan oleh seorang ibu terhadap anaknya. Betapa besar pengorbanan yang dilakukan oleh setiap wanita yang bergelar ibu di sepanjang tempoh kedewasaan anak-anak. Namun, mampukah kita sebagai anak untuk membalas setiap apa yang telah dilakukan oleh mereka di sepanjang hayat kita kelak?
Situasi yang sempat penulis abadikan ini hanya sebagai contoh betapa besarnya jasa yang dicurahkan oleh seorang ibu. Pada pandangan mata kasar, memang benar kita melihat kesanggupan mereka melakukan apa sahaja yang terdaya demi melihat anak yang dikasihi mengecapi bahagia. Namun, tidak ramai yang dapat menduga betapa beratnya tanggungjawab dan cabaran yang digalas oleh kaum ibu dalam konteks yang lebih tepat.
Akhirnya penulis mengambil keputusan untuk meninggalkan gedung kain itu, sekaligus membiarkan si ibu yang sedang leka membelek-belek kain di situ walaupun ternyata rasa penat dan lenguh makin kuat mencengkam dirinya. Mungkin bagi si ibu, dia tidak kisah akan rasa yang ditanggung dirinya asalkan anak kecilnya selesa dan tidak terjaga dari lena.